Hampir tujuh tahun membabitkan diri dalam dunia lakonan, baru
sekarang nama Nelydia Senrose, 19, dikenali umum. Semuanya gara-gara
kegilaan ramai terhadap drama bersiri terbaru lakonannya, Setia Hujung
Nyawa.
Sebaik disiarkan di TV3 melalui slot Akasia sepanjang dua minggu,
drama terbitan Suhan Movies & Trading dan arahan Emi Maziah itu
ditonton hampir tiga juta orang, sekali gus membuatkan penonton buka
mata terhadap bakat Nelydia membawakan watak Ersalina berganding dengan
Amar Ashraf sebagai Zain Hakimi.
Ditemui di lokasi penggambaran Setia Hujung Nyawa baru-baru ini,
Nelydia atau mesra dengan panggilan Nelly bersyukur dengan perkembangan
itu.
Katanya, dia mula berlakon sejak berusia 13 tahun dan banyak
drama dibintangi, namun tidak sangka baru sekarang orang memberikan
perhatian terhadap lakonannya.
Nelydia Senrose
Katanya, populariti diraih Sehingga Hujung Nyawa tidak pernah
membuatkan dia mendabik dada mahupun berasa besar memandangkan situasi
industri perfileman dan penerbitan drama tempatan tidak menentu. Apatah
lagi persaingan sangat besar dan bakat baru silih berganti.
Gadis kacukan Melayu-Siam ini mengakui mementingkan sesuatu yang
lebih menjamin masa depan. Katanya, sebaik tamat pengajian peringkat
menengah dan memperoleh keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), dia memilih melanjutkan pengajian dalam bidang
psikologi.
“Saya cuba bersikap realistik dalam hidup. Sekarang
pun kita lihat banyak muka baru muncul dan tidak kurang juga berbakat.
Saya tidak pernah meletakkan diri antara yang terbaik kerana ada lagi
bakat baru dan muda lebih berkebolehan.
“Saya belajar untuk masa
depan dan sekurang-kurangnya mesti ada segulung ijazah dalam bidang
berbeza. Kalau takdir menentukan bakat saya dihargai dan diperlukan
sampai bila-bila, saya bersyukur.
“Bagaimanapun, andai orang
tidak perlukan saya lagi, dengan kelulusan diperoleh, sekurang-kurangnya
saya boleh menyertai bidang baru dan saya minati,” kata pelajar Kolej
SEGI ini.
Jelas Nell, dia memilih melanjutkan pelajaran dalam
bidang psikologi dan bukan seni kerana sejak dulu berminat memerhati dan
mengkaji tabiat manusia. Katanya, bidang pekerjaan dalam bidang itu
juga luas.
Mungkin ramai tidak tahu, Nelly adalah sepupu pelakon
baru yang naik mendadak, Emma Maembong dan kakaknya, Nik Zaris Uqasha
Senrose Nik Sen, 21, atau Uqasha Senrose yang kini turut bergelar
pelakon.
Bagaimanapun, Uqasaha terus ke layar perak apabila
membintangi filem Bencinta berganding dengan pelakon popular, Nora
Danish dan Farid Kamil yang kini menjalani penggambaran di Langkawi.
Emma pula terus melonjak naik hanya menerusi dua drama.
Menilai
pembabitan mereka dalam industri seni dan pencapaian diperoleh, ternyata
perjalanan pelakon yang memulakan kerjaya menerusi drama bersiri Spa Q
itu jauh jika dibandingkan dengan Emma.
Tegas Nelly, ia tidak
perlu dijadikan isu memandangkan rezeki ditentukan Tuhan. Katanya, dia
bersyukur dengan apa diperoleh sekarang dan yang pasti, dia gembira
dengan populariti diraih Emma sekarang.
Pantang orang berbohongPUNYA
rupa dan popular, tentu ramai menyangka Nelly berpunya. Tambahan pula
dalam usia mencecah 19 tahun, boleh dikatakan ia tempoh terbaik untuk
seorang gadis mengenal erti berkasih sayang dan indah apabila dicintai.
Mengejutkan apabila gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mengatakan dia tiada teman lelaki.
“Mengapa
saya harus berbohong? Saya tidak pernah memikirkan soal populariti akan
jatuh jika mengaku hati dimiliki. Pada saya, sikap jujur itu perlu.
“Apatah lagi saya pantang kalau orang membohongi saya. Sudah tentu perkara sama juga diharapkan orang lain daripada saya.
“Bayangkan
kalau saya kata tiada kekasih. Kemudian saya keluar dengannya dan
dilihat orang keliling. Bukankah nanti orang akan menuduh saya pembohong
dan hipokrit. Tiada apa yang hendak dirahsiakan, apatah lagi saya tidak
pernah meletakkan diri sebagai orang popular,” katanya.
Berpegang
kepada prinsip itu, Nelly mengakui sentiasa bersikap terbuka walaupun
ia menyentuh soal peribadi. Soal bercinta atau teman lelaki sering
ditanya dan menjelaskan secara jujur ia tidak pernah berlaku.
Pelakon berwajah comel ini mengatakan, mungkin faktor usia menyebabkan dia tidak bernasib baik dalam soal cinta.
“Masalahnya,
saya sukakan lelaki yang jauh lebih berusia dan mereka pula tidak
pernah pandang serius terhadap saya. Bila bertemu dan beberapa kali
keluar bersama, akhirnya hubungan itu bertukar menjadi ‘adik dan abang’.
“Saya
percaya perkara itu berlaku kerana keperibadian saya yang masih
keanak-anakan. Saya tidak pernah kisah mengenai soal itu memandangkan
saya masih muda dan banyak perkara perlu dikejar.
“Saya perlu
beri tumpuan kepada kerjaya lakonan dan pelajaran. Saya percaya cinta
tidak perlu dicari kerana apabila tiba masanya, ia akan datang dengan
sendiri,” katanya dengan pandangan matang berbanding usia sebenar.
BIODATA:Nama sebenar: Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen
Tarikh lahir: 30 Julai 1994
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Keluarga: Ketiga daripada tujuh beradik
Kerjaya: Pelakon dan pelajar
Kolej: Kolej SEGI (pengkhususan psikologi)
Drama:
Spa Q, Sirah Cinta, Datin Wannabe, Biru Cinta Di Laguna, Hati Seorang
Perempuan, Khalifah, Anak Aku Artis, Ahmad Durrah, Mistik Alam Hitam,
Segenggam Api Secangkir Pelangi, Puaka Bunga Tanjung, Friday I’m In Love
dan Setia Hujung Nyawa.
SUMBER METRO ONLINE