Friday, May 25, 2012

'Elok jaga tepi kain orang’


DALAM keasyikan masyarakat memperkatakan mengenai isu kehilangan kanak-kanak, ia ibarat ledakan mercun yang sentiasa berkait. Boleh dikatakan setiap hari ada saja berita membabitkan pelbagai kisah duka kanak-kanak yang berpunca daripada kecuaian ibu bapa atau penjaga.

Antaranya meninggal dunia kerana lemas, dilanggar ibu bapa, digelek pembajak, lemas di dalam kereta, tersedak susu, didera pengasuh, terjatuh kolam dan terkena renjatan elektrik yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya ibu bapa memberi sepenuh perhatian terhadap keselamatan anak-anak.
Dengan banyak kes yang berlaku hampir setiap hari, seolah-olah nyawa kanak-kanak bagaikan tiada nilai. Siapa yang harus dipersalahkan, ibu bapa, pihak sekolah atau masyarakat? Adakah dengan mengetatkan undang-undang dan menjatuhkan hukuman setimpal kepada ibu bapa dan penjaga satu langkah bijak bagi memberi pengajaran supaya perkara ini tidak berulang?

Menurut pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Ahli Majlis Penyelaras Pelindung Kanak-Kanak Malaysia, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, di dalam Akta Kanak-kanak, Seksyen 33 ada menyebut mengenai kesalahan ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak-anak tanpa pengawasan orang dewasa atau meninggalkan anak-anak untuk suatu tempoh yang tidak munasabah atau membiarkan mereka dalam keadaan yang tidak munasabah, ibu bapa atau penjaga yang melakukan kesalahan ini, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.


Persoalannya, pernahkah pendakwaan dibuat dan jika tiada, kenapa? Jika pihak polis masih menganggap perkara seperti ini lumrah kehidupan dan takdir, maka semakin ramai ibu bapa tidak bertanggungjawab terlepas daripada hukuman sedangkan mereka secara sengaja mendedahkan anak-anak kepada bahaya.

“Misalnya ibu bapa bekerja yang meninggalkan anak di rumah tanpa pengawasan pembantu rumah atau keluarga terdekat, membiarkan anak keluar bermain di tepi jalan atau taman permainan tanpa pengawasan orang dewasa, juga membiarkan kanak-kanak yang baru boleh berjalan bersendirian sehingga menyebabkan lemas atau terkena renjatan elektrik sudah tentu semuanya berpunca daripada kecuaian penjaga.

“Begitu juga sekiranya ibu bapa meninggalkan anak-anak tanpa pengawasan dan mendedahkan mereka kepada peluang melarikan diri dari rumah, sudah tentu ibu bapa boleh didakwa bagi kesalahan di bawah peruntukan ini,” jelasnya.

Dalam hal ini kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa kerana mereka masih belum boleh berfikir perkara baik dan buruk.
Di dalam Islam juga tidak membenarkan anak-anak terutama gadis keluar tanpa ditemani muhrim. Ini kerana menjadi tanggungjawab wali iaitu bapa memastikan keselamatan anak-anak sehingga mereka mendirikan rumah tangga.

“Namun kini, ibu bapa memberi kebebasan dengan membenarkan mereka keluar bersama rakan. Ada pula yang langsung tidak bertanya siapa kawan dan ke mana mereka pergi. Sikap terlalu terbuka dan memberi kebebasan ini akhirnya akan membawa padah,” katanya.

Tambah Prof Noor Aziah, cara didikan ibu bapa pada masa dulu seharusnya diterapkan kembali kepada anak-anak. Dengan pelbagai kes yang berlaku sekarang, mendisiplinkan anak dengan mengadakan peraturan ketat seperti melarang keluar rumah kecuali ke sekolah atau aktiviti berkaitan, menemani anak ke mana saja serta melarang bertandang ke rumah rakan mampu mengelak perkara buruk.

“Saya masih ingat dulu kami adik-beradik langsung tidak dibenarkan bermain di rumah rakan. Jika ada hanya ketika belajar mengaji al-Quran dan biasanya dihantar dan diambil ayah. Malah kami tidak dibawa ke pusat beli-belah atau majlis kenduri. Tidak pernah memilih baju raya sendiri kerana semuanya disediakan ayah,” jelasnya.

Keadaan ini berbeza dengan anak zaman sekarang kerana sejak kecil mereka didedahkan dengan persekitaran pusat beli-belah, majlis keraian dan pusat hiburan. Bukan tidak boleh membawa anak, tetapi sekiranya ibu bapa sendiri leka, cuai dan tidak mampu mengawal tingkah laku mereka baik ditinggalkan saja di rumah.

Menceritakan pengalaman ketika menetap di United Kingdom, dia tidak pernah meninggalkan anak-anak bersendirian, malah ketika mengunjungi pusat beli-belah tangan anaknya diikat menggunakan abah-abah supaya tidak hilang. Sehingga ke hari ini walaupun mereka sudah remaja, dia tetap mengawasi pergerakan mereka.

“Memang saya seorang yang sangat mengambil berat keselamatan anak-anak. Sejak kecil saya tidak pernah membenarkan mereka keluar bersendirian atau bersama rakan sehingga usia 18 tahun. Itu pun mesti ditemani saudara-mara misalnya sepupu. Memang saya sentiasa beringat kerana kemalangan boleh berlaku di mana-mana. Jika kita sudah menjaga dan mengawasi mereka namun masih berlaku tragedi, baru boleh dikatakan sebagai takdir,” ujarnya yang mengingatkan ibu bapa supaya tidak melepaskan anak gadis sehingga mereka mendirikan rumah tangga kerana ia di bawah tanggungjawab penjaga.

Ujarnya, kebebasan keterlaluan kepada anak terutama remaja perempuan menyebabkan ada yang lari dari rumah mengikut teman lelaki. Dia yang menjalankan kajian di sebuah sekolah mendapati, kes lari dari rumah berpunca daripada ibu bapa itu sendiri. Rasa kurang senang dan selesa di rumah, ibu kuat membebel, dicabul bapa sendiri, dirogol abang atau saudara mencetuskan rasa kurang hormat terhadap ketua keluarga.

“Sepatutnya rumah menjadi lokasi terbaik mencetuskan rasa aman, tenang dan selesa kepada anak-anak. Konsep rumahku syurgaku harus diwujudkan di rumah. Ini bagi memastikan anak-anak tidak keluar rumah dan menganggapnya sebagai lokasi terbaik bersama keluarga,” jelasnya.

Selain ibu bapa, masyarakat turut berperanan memastikan keselamatan kanak-kanak. Ini boleh dilakukan dengan memberi perhatian sekiranya terlihat anak kecil tanpa pengawasan penjaga.

Amalan menjaga tepi kain orang harus dikembalikan. Ini boleh dilakukan dengan menegur tanpa mengira latar belakang jika ternampak remaja keluar bersama lelaki dalam keadaan mencurigakan. Begitu juga sekiranya ternampak kanak-kanak bersendirian, kita segera menyelamatkan mereka.

“Kemalangan membabitkan kanak-kanak boleh dikurangkan sekiranya mendapat kerjasama semua pihak. Lebih penting ibu bapa memainkan peranan dalam membentuk perilaku anak. Ini boleh diperoleh sekiranya pasangan mempunyai ilmu keibubapaan yang tinggi. Bukan setakat berkahwin dan mempunyai anak tetapi tahu cara didikan terbaik untuk cahaya mata mereka,” katanya.

Berikutan peningkatan kemalangan serta perbuatan jenayah zalim terhadap kanak-kanak seperti penculikan, serangan, penganiayaan, liwat, rogol dan pembunuhan, ini menunjukkan perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia masih belum sempurna dan perlu diperbaiki.

Ini diakui Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye yang berpendapat, keselamatan kanak-kanak tidak boleh diambil mudah kerana melindungi kanak-kanak daripada keganasan adalah komponen penting dalam menjaga hak kanak-kanak untuk terus hidup, membesar dan membangun. Ini boleh dilakukan dengan memantapkan dasar perlindungan kanak-kanak menerusi beberapa strategi dan pendekatan yang boleh dimainkan penjaga dan masyarakat amnya.

Merujuk kes penculikan kanak-kanak Nayati Shamelin Moodliar, 12, ketika berjalan ke sekolah berhampiran rumahnya, pihak sekolah perlu mengetatkan kawalan keselamatan.

“Kawalan secara berjalan kaki dan bermotosikal di kawasan sekolah perlu dipertingkatkan. Pihak berkuasa perlu memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di samping memasang lampu di kawasan gelap. Pastikan sesiapa juga yang memasuki kawasan sekolah harus berdaftar dengan pengawal keselamatan.
Walaupun nampak rumit, ia sangat membantu melindungi pelajar sekolah daripada bertemu orang yang tidak dikenali,” ujar aktivis sosial ini.

Selain itu, pihak sekolah harus memperkenalkan mata pelajaran pendidikan keselamatan terutama kepada kanak-kanak di sekolah rendah kerana mereka terdedah kepada banyak risiko seperti diculik.

“Antaranya mengajar cara bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan sekiranya berlaku keadaan merbahaya, berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali dan tidak termakan pujuk rayu mereka. Mereka juga perlu diajar cara menyelamatkan diri jika diculik dengan berlari, menjerit, meniup wisel, menggigit dan meminta tolong dengan sesiapa saja,” katanya.

Dalam hal ini, perlindungan kanak-kanak harus bermula dari rumah. Ibu bapa perlu bertanggungjawab kepada keselamatan anak di samping mengajar cara bertindak balas sekiranya dalam bahaya.

Membawa anak ke pusat beli-belah, tempat makan dan kawasan riadah tanpa pemantauan rapi mendedahkan mereka kepada bahaya. Begitu juga dalam kes anak tertinggal dalam kenderaan atau hilang ketika bermain di taman permainan yang berpunca daripada kecuaian penjaga sendiri.

Katanya, kes sebegini boleh dielakkan sekiranya masyarakat prihatin dengan keadaan sekeliling. Misalnya anak yang bermain di taman permainan, ibu bapa boleh meminta jiran memantau secara bergilir-gilir.

“Walaupun ada beranggapan anak sudah besar dan bersekolah rendah, harus ada rasa takut dan bimbang terhadap keselamatan mereka. Mungkin menjaga anak secara bergilir-gilir dengan jiran dan memantau pergerakan ketika bermain di taman permainan dapat mengurangkan kes diculik atau hilang,” katanya

SUMBER 

2 comments:

  1. yg penting kasih sayang perlu ada kedua belah pihak dan orang ramai kan :)

    ReplyDelete
  2. Jauhkanlah perkara yang tidak elok dari mendekati keluarga kita dan semua..

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah