Friday, December 11, 2020

Badi Mayat

SAMBUNGAN DARI Chapter 3 

Chapter 4

Aku kini sudah amat menggemari kelas praktikal Doktor P.Ramlee. Hampir setiap pagi menjadi rutin kami masuk ke bilik simpanan ‘Cadever’ untuk mengambil sampel-sampel mayat untuk latihan pada hari itu. Dr. P.Ramlee nampaknya amat selesa dan yakin dengan kami yang membantunya setiap hari. Pembantu makmal yang bertugas juga nampaknya agak senang dengan kehadiran kami. Hari ini merupakan kelas terakhir sebelum kami akan keluar untuk sesi latihan amali di Hospital. Kami diberikan kebebasan untuk memilih ke Hospital mana untuk sesi latihan. Secara jujurnya aku pun belum memikirkan tentang itu lagi. Lagipun masih ada sebulan lagi yang perlu di isi dengan assignment-assignment.

Kelas hari ini agak menarik. Seharian kami meneliti tangan ‘cadever’ dari bahagian bahu lengkap ke jari jemari tangan serta bahagian kaki dari peha hingga ke jari kaki. Bau cecair formalin yang tajam menusuk hidung kini sudah sebati dengan kami. Setiap hari aku merendam pakaian yang melekat dengan bau mayat dengan air sabun dan seperti kata orang tuaku, untuk mengelakkan dari badi mayat ikut balik ke rumah. Aku yang dibesarkan dengan kehidupan kampung memang faham, badi yang dimaksudkan itu apa. Tapi yang aku tahu bau tengik mayat bersama-sama adunan cecair formalin memang setia mengikut aku kerumah setiap hari apabila ada latihan amali seperti ini. Nasib baik laa aku ada motosikal Panther Gamma kesayanganku ini. Nasib laa sapa yang balik naik bas tu. 

“Ok ini kelas terakhir saya untuk semester ini”, kata Doktor P.Ramlee. “Saya harap apa yang saya ajar dapat membantu kamu semua masa sesi praktikal nanti”.Jelasnya lagi. AKu memang amat bersetuju dengan ayat itu. Kini aku amat mengenali dengan lebih baik setiap tulang, otot dan urat dalam badan manusia ini. Tak sama rasanya dengan membaca dan belajar dalam kelas sahaja. Tangan ‘cadever’ dihadapan aku ini kelihatan biru kegelapan. Kulit-kulit dah lama tersiat dan hanya otot-otot bergumpalan jelas kesihatan. Aku pun tak pasti sama ada kulit lengan dihadapanku ini tertanggal sebab lama terendam dalam larutan formalin atau telah di siat-siat untuk sesi pembelajaran kami. Tapi memang aku pernah melihat sekujur tubuh lengkap yang disimpan dalam keranda kayu di bilik simpanan ‘cadever’. Mayat itu lengkap disimpan dalam sebuah keranda kayu, mungkin baru dihantar dan dari mana aku pun tak pasti. Tapi dari rupa paras aku boleh mengagak bangsanya, tapi biarlah aku tak ceritakan di sini.




Tugasan aku hari ini adalah untuk melabelkan struktur tangan dan lengan taK berbadan dihadapan ku ini. Walaupun direndam dalam cecair formalin, bau daging reput masih boleh di hidu danmenyesakkan pernafasan. Seperti kebiasaan, aku tidak memakai topeng penutup muka pada masa itu. Keadaan pada masa itu tidak seperti sekarang. Kebanyakan fasiliti moden adalah lebih lengkap dengan pakaian perlindungan untuk pelatih. Pagi ini aku mengikat otot biceps pada bahagian lengan dengan benang dan melabelkanya. Biceps adalah otot yang besar dan sasa. Itulah otot yang sering dipamirkan oleh abang-abang sado di gymnasium untuk memikat hati sesiapa yang memandangnya. Otot-otot ini apabila dilatih akan membesar dan berbentuk pejal menjadi idaman setiap orang. Namun, bila sel-sel dah tak bernyawa dan bermaya seperti di hadapanku ini, maka hilanglah tarikannya daripada mata manusia. Begitulah lumrah kehidupan kita ini. Segalanya yang ada hanya dipinjamkan sementara, tiada yang kekal. Bila dah tak bernyawa dan mebusuk seperti tangan di hadapan ku ini, tiada siapa lagi yang kagum untuk melihatnya. 

Seterusnya aku melabelkan otot triceps, yang terletak berlawanan dengan otot biceps. Kedua-dua otot ini perlu berkerjasama dengan baik untuk membentuk pergerakan yang sempurna. Otot biceps berfungsi untuk membengkokkan siku, manakala triceps bertindak untuk meluruskanya. Kedua-dua otot akan berkerja serentak apabila kita mengangkat beban seperti mengheret baldi berisi air seperti yang aku sering lakukan di perigi rumah atuk apabila aku balik ke kampung. Seterusnya, aku menumpukan perhatian pada gumpalan-gumpalan otot pada bahagian lengan pula. Otot-otot ini kelihatan berwarna gelap dan kebiru-biruan kerana tidak mendapat bekalan darah dan oksigen. 



Aku melihat lenganku sejenak. Amat berbeza rupanya. Kulitku yang berwarna sawa matang akibat sering terdedah pada terik cahaya matahari. Walaupun sedikit gelap, masih boleh dilihat warna sedikit kemerahan. Warna merah ini terpancar daripada warna merah aliran darah yang membawa oksigen yang mencukupi. Oksigen yang dihirup oleh paru-paru manusia akan disalurkan pada hemoglobin yang terdapat pada sel darah merah melalui proses kimia akan menampakkan warna merah terang. Darah yang pekat dengan hemoglobin dan oksigen akan berwarna merah pekat seperti warna cat yang selalu digunakan pada kereta sport terkini yang dikenali sebagai warna ‘blood red’.  

Apabila nyawa manusia dicabut oleh malaikat maut, maka jantung akan terhenti mengepam darah ke seluruh bahagian badan. Paru-paru akan mula terhenti menyedut udara segar kerana tidak mendapat bahan tenaga yang diperlukan olehnya daripada aliran darah ke otot diafrgm dan intercostal. Nasib yang sama akan dialami oleh keseluruhan organ didalam badan dan akhirnya nasib yang sama pada seluruh otot-otot di dalam badan. Otot-otot ini akan mengambil masa untuk berhenti berfungsi sepenhnya kerana setiap sel-sel didalam otot akan menyerap oksigen dan sumbertenaga yang tersimpan sehabis-habisnya untuk kekal hidup. Begitulah gigih dan uniknya ciptaan tuhan ini yang dipanggil manusia. 



Tiba-tiba aku terfikir dan teringat cerita semasa kecil yang kudengari daripada Pak Akob, iaitu seorang attendant rumah mayat di Hospital Seremban. Dalam pengalamannya menguruskan bilik mayat, selalu juga dia melihat mayat bergerak-gerak di bawah kain putih yang menutupi jasad. Apabila ku tanya, tak takut ke? Tak, jawabnya ringkas. Kini baru ku faham, ilmu yang kita pelajari banyak membantu untuk kita memahami pekara yang sering kita katakan sebagai paranormal itu. Memang sifat manusia begitu. Kita sering takut pada pekara yang kita tak fahami. Tiba-tiba terdetik di fikiranku, ‘Tak kenal maka tak cinta’. Ha ha.. Rasa kelakar pulak. Boleh pulak aku fikir macam tu. Mungkin fikiran aku cuba menjustifikasikan apa yang sedang aku buat pada masa itu. Rasanya tak semua orang sanggup buat apa yang aku buat pada hari ini. Perasaan kita bercampur aduk. Ngeri, kesal, kesian, takut dan insaf. Semuanya keluar dan bercampur aduk serentak. Hanya kecekalan dan focus memberikanku semangat menolak segala kakalutan dan ketakutan pada perasaanku jauh kedalam jiwa.   
   
“Ok, kelas telah tamat, anda semua boleh pulang”. Wah, begitu cepat masa berlalu. Telah lewat petang rupanya. Tak terasa langsung. Begitulah Nampak sangat khusyuknya aku hari ini. Mungkin juga sebab aku ni jenis yang lebih suka berada di luar berbanding pada sesi teori di dalam kelas. Mungkin sesi praktikal di hospital nanti pasti akan lebih menarik ujarku di dalam hati. “Ok kami balik dulu” kata-kata daripada Abang Rosli. Sgt Prem bersama-sama rakan yang lain mula melangkah keluar daripada dewan diseksi. Ahh, sudah..

Cepatnya mereka berkemas bentak ku di dalam hati. Aku basuh tangan pun tidak lagi. Dengan tergesa-gesa aku meluru ke arah sinki. Pili air aku buka seluas-luasnya. Air paip menderu laju. Terus sahaja aku meneruskan tujuh langkah membasuh tangan yang sering diamalkan oleh petugas di hospital. Selesai membasuh tangan, perlahan-lahan aku dekatkan tangan ke hidungku. Ahh, kuat lagi bau mayat ni ujarku di dalam hati. Terus aku mengulang-ulang lagi langkah basuhan tangan hingga akhirnya, ok lega. Tanganku kini kuat dengan bau sabun dan alcohol pencuci tangan.

Dengan segera aku mencapai beg dan meluru ke pintu keluar dan secara tiba-tiba langkahku terhenti. Aku pun tak tahu mengapa. Ku toleh ke belakang di dalam dewan yang kosong. Sunyi sepi. Hanya ada tangan dan kaki tidak berbadan bergelimpangan di atas meja besi. Terlintas di hati ku, siapa yang nak kena simpan ni? Biar macam ni aje ke? Ahhh.. Bukan masalah aku buat masa sekarang. Baik aku keluar cepat dari dewan kosong ni. Aku terus berpusing kembali dan meluru keluar. Tiba-tiba, “heyy!!”
Aku terlanggar seseorang. Berderau darah ku. Lebih laju degupan jantungku apabila aku menoleh orang yang aku langar itu. Aku telah bertembung dengan Nini, bertabur beg dan kertas yang dipegangnya. “Ahh Maaf” ujarnya. Nini segera mengambil beg dan mengutip cebisan kertas notanya yang bertabur di atas lantai. Aku pun secara refleks terus melutut untuk membantu. Nini mengutip kertas-kertas notanya dan segera memasukan ke dalam beg. Kemudian terus berdiri dan beg tersebut terus disandangnya. Baru aku perasan kelibat Lia di belakang Nini. Lia kelihatan takut-takut. “Apa yang korang buat dekat sini?”.Aku bertanya. Nini berkata, “kami nak tengok tempat simpan ‘cadever’, dari mula kelas memang teringin nak pergi tengok” jawabnya. “Kenapa nak tengok?”. Tanyaku lagi. “Saja je lah nak tengok, nanti dah tak ada kelas, tak datang sini dah lagi” tambah Nini. 

Tiba-tiba Lia bersuara. “Rayyan, boleh tunjuk dekat kami tak?” “Hmm..” hanya itu keluar dari mulutku. entah mengapa aku terasa lemah atas permintaan yang satu ni. Dah la tak ada orang langsung dekat sini, lewat petang pulak tu. Tiba-tiba aku rasa dunia aku amat nyaman sekali. Hanya ketika itu ada Aku, Lia dan Nini. Tiada lagi perkara lain yang menyesakkan fikiran ketika itu..Kisah tangan yang memegang lenganku di dalam bekas simpanan ‘cadever’ pun aku sudah terlupa seketika. Silap aku yang paling besar, aku terus terlupa nasihat Ayahku. Nasihat ayahku tentang mengelakkan daripada bahaya terkena badi mayat.       

BERSAMBUNG


4 comments:

  1. Lalu sekali imbas..sebab penakut. hahahaha :P

    ReplyDelete
  2. alahai... tertinggal keretapi pulak kakmim... nk kena baca dr mula ni.. hmm... tajuk pn dh seram

    ReplyDelete
  3. Tak jadi nak baca. takut. huhuhu!

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah