Tuesday, February 8, 2022

Sesuatu Yang Kita Perlu Tahu Dan Ambil Tahu

Assalamualaikum...

Hi korang...

Sebenarnya kan....entry ni dah ada dalam draft lama dah..tapi SA tak berani nak publish...x tau kenapa..rasa macam takde kekuatan...rasa kalau publish tought dari Dr Kayra ni orang akan menuding jari kat SA...tapi hakikatnya SA nak share maklumat mana tau ada antara kita tak pernah tau sebelum ni kan...info dari FB ni SA share kat sini untuk panduan kita semua akan datang...sedikit pengetahuan tentang semua ni amat penting untuk kita sekiranya suatu hari nanti perkara macam ni berlaku kepada kita semua kan..


Di dalam Islam nafkah kepada wanita yang kematian suami dan anak-anaknya selama tempoh edah 4 bulan 10 hari dipertanggungjawabkan ke atas bapa si arwah. Jika bapa si arwah sudah meninggal dunia, maka adik-beradik lelaki si arwah BERTANGGUNGJAWAB memberi nafkah kepada si balu dan anak-anak yatim itu dalam tempoh edah berkenaan. 

Pemberian nafkah bukan bermakna sekali datang melawat bagi RM50. Pemberian nafkah bermaksud pastikan makanan mencukupi untuk si balu dan anak-anaknya selama 4 bulan 10 hari. Rumah dibayar bulanannya kepada pihak bank selama 4 bulan 10 hari. Jika rumah sewa, bapa si arwah dan adik-beradik lelaki si arwah bayar sewa rumah yang diduduki si arwah bersama isterinya itu selama 4 bulan 10 hari. Si balu ada duit minyak kereta untuk hantar anak-anak ke sekolah. Itu maksud nafkah dalam edah bagi balu yang kematian suami. 

Pemberian nafkah kepada balu semasa dalam edah selepas kematian suaminya TIDAK BOLEH membabitkan harta yang ditinggalkan arwah KECUALI si bapa arwah dan adik-beradik lelakinya itu TERLALU MISKIN

Maka dibolehkan mengambil harta si arwah sekadar mencukupi untuk menanggung nafkah si balu dan anak yatim itu dalam tempoh edah. Bapa si arwah TIDAK BOLEH mengambil untuk diri sendiri apatah lagi untuk dibahagi-bahagikan dengan anak-anak yang lain kerana SANGAT JELAS HAK ANAK YATIM ADA DALAM HARTA BERKENAAN. Sila buka kitab Bab Anak Yatim, terlalu jelas huraiannya, cuma yang pasti SATU SEN PUN HAK ANAK YATIM KITA TIDAK BOLEH AMBIL. Si balu sebagai ibu kepada anak-anak yatim itu mempunyai hak ke atas harta peninggalan arwah suaminya. 

Tempoh edah 4 bulan 10 hari dikurniakan Allah SWT kepada si balu bukan sekadar untuk memastikan si isteri tidak mengandung ketika suaminya meninggal dunia, tetapi juga supaya keluarga si arwah dan "semua orang" dapat bertenang dan tak perlu "gelabah beruk" dalam memikirkan apakah langkah seterusnya untuk masa depan anak yatim itu, bukannya tempoh edah itu untuk saudara-mara mengeluh-ngeluh "kami ni nak merasa juga harta si arwah". Masa arwah masih hidup kenapa "malu-malu untuk mintak hartanya". Mengapa perlu tunggu dia mati???

Hukum ini sudah terlalu lama diabaikan oleh orang Melayu Islam di Malaysia. 

Bab Hadiah Dari Suami Kepada Isterinya SEMASA SUAMI MASIH HIDUP, tak kiralah dalam bentuk apa seperti wang tunai dalam akaun bank bersama, atau jam tangan, atau rumah, atau apa sahaja hadiah tanda cinta si suami kepada isterinya maka KESEMUA YANG DIHADIAHKAN ITU TIDAK BOLEH DIFARAIDKAN. Ianya sudah menjadi HAK MUTLAK SI BALU. 

Saya nak tanyalah, korang yang lelaki ni okay ker dalam kubur nanti apabila tahu hadiah yang korang beri kepada isteri semasa anniversary dengan harapan isteri bertambah cinta pada korang, menjadi rebutan adik-beradik korang bila korang dah mati?? Korang okay ker dalam kubur tu jika korang tahu isteri korang tengah bergelut mencari duit untuk memberi makan anak-anak benih korang dalam keadaan adik-beradik korang sebok berebut harta korang?? Korang okay ker dalam kubur tu?? 🤔

Letih laaa jadi isteri jika hadiah anniversary dari suami setiap tahun perkahwinan itu perlu dibahagi-bahagikan dengan adik-beradik suami selepas suami mati. Lebih baik suami belikan hadiah untuk adik-beradik dia sahaja setiap kali sambut anniversary dengan isteri. "Nahh Abang Long, ni jam tangan mewah harga RM 27 ribu hadiah untuk Abang Long sempena Anniversary aku dengan wife aku yang ke-1 tahun. More too come, setiap tahun Abang Long akan dapat hadiah sempena sambutan Anniversary Perkahwinan kami." Letihhhhh... 

Islam itu sudah cukup sempurna. Patuhi hukum agama dan jangan berebut dengan harta dunia yang bukan hak kita. 

Satu lagi perangai buruk orang Malaysia adalah sangat suka "acah takut" apabila berhadapan dengan balu yang tidak pernah bekerja sepanjang perkahwinan. Kononnya "acah bimbang" si balu tidak pandai menguruskan harta si arwah yang sedikit itu. Alangkan masa hidup si arwah beri kesemua gajinya kepada si isteri, takkanlah si isteri masih tidak pandai menguruskan harta suaminya? Kenapa si arwah tidak beri duit gajinya setiap bulan kepada adik-beradik dia jika dia tidak percaya kepada isterinya? 

KEPADA SEMUA WANITA.. 

Apabila anda berhadapan dengan kemelut begini, TUNTUT HARTA SEPENCARIAN di mahkamah. 

Harta Sepencarian adalah harta berupa wang, rumah, tanah, barangan atau APA SAHAJA yang dibeli atau diperolehi sepanjang perkahwinan berlangsung dan isteri mempunyai HAK KE ATAS SEPARUH HARTA berkenaan WALAUPUN si isteri TIDAK PERNAH BEKERJA sepanjang perkahwinan berlangsung. Ada dalam undang-undang negara kita. 

Seorang rakan saya yang mempunyai 5 orang anak pernah berjaya dalam tuntutannya ke atas Harta Sepencarian apabila ianya menjadi rebutan adik-beradik arwah suaminya. Kemelut tuntutan dari adik-beradik arwah suaminya, sehinggakan hakim menetapkan jika ada 12 batang sudu di dalam rumah yang didiami bersama arwah suaminya, maka rakan saya dapat 6 batang sudu dan adik-beradik arwah mendapat baki 6 batang sudu lagi. Hakim menetapkan semua harta yang ada di dalam rumah atas nama arwah itu dibahagi dua. Jika tiada kesepakatan dalam pembahagian, maka ianya perlu dijual dan wang diperolehi dibahagi dua. 

Sofa ada 3 biji, pertama 3 seat, kedua 2 seat dan ketiga 1 seat, maka semasa pembahagian itu yang dipantau oleh wakil mahkamah dan wakil peguam kedua belah pihak, rakan saya berjaya mengambil sofa 3 seat kerana dia kata arwah suaminya selalu berbaring di atas ribanya di sofa 3 seat itu selama 15 tahun perkahwinan mereka. Rakan saya mengalirkan airmata semasa meminta sofa 3 seat itu diberikan kepadanya. Rumah yang didiami bersama arwah suaminya dan mempunyai kenangan indah buat anak-anak yatim itu terpaksa dijual dan wang hasil jualan dibahagi dua antara rakan saya dan adik-beradik arwah suaminya. Saya melihat 5 anak yatim itu menangis semasa mengangkat beg baju mereka keluar dari rumah yang dibeli bapa mereka. 

Saya perhatikan pembahagian berlaku dengan tenang walaupun adik-beradik arwah suaminya menghenyeh-henyeh rakan saya itu sebagai "janda kaya tak sedar diri" kerana mahu sofa (buka kamus apa makna menghenyeh). Rakan saya itu bukan tidak sedar diri, dia sedang rindu kepada arwah suaminya. 

Apabila hitamnya hati, sehinggakan airmata anak-anak yatim itu tidak lagi mampu melembutkan bapa-bapa saudara yang sangat tamak hinggakan berkeras mahu sudu yang pernah menyuap makan anak-anak yatim itu selama 15 tahun juga mahu direbut. 

KEPADA ORANG LELAKI.. 

Pertama:

Ingatlah, sebaik mana pun hubungan anda dengan adik-beradik anda, JANGAN SESEKALI ANDA BERKATA "kalau aku takde nanti kau tolong tengok-tengokkan wife dan anak-anak aku, maklumlah wife aku tak pernah kerja". Bila anda mati yang ditengok cumalah harta. Lapar atau tidak anak-anak anda tidak lagi menjadi perhatian mereka. Ayat anda tentang isteri anda yang "tidak pernah bekerja", "lurus bendul" itu sahaja yang akan dijaja. Lebih baik semasa anda masih bernyawa, anda ajar isteri anda menguruskan harta bersama-sama, ajar isteri anda memandu, membaiki kereta dan lain-lain. Bukankah di dalam Islam tanggungjawab suami itu mendidik isterinya?? 

Kedua:

INGATLAH walau baik macamana pun hubungan anda dengan kawan-kawan lelaki anda, JANGAN SESEKALI ANDA CAKAP "bila aku takde nanti kau tolong tengok wife dan anak aku maklumlah wife aku tu lurus bendul". Yaaa!! Kawan anda akan tengok wife anda, tetapi dalam pandangan yang berbeza. Ini kami biasa jumpa ketika membantu balu yang kesusahan. Dalam erti kata lain, tunggu masa nak ngap isteri korang sahaja. "Try Try Je, Kalau Dapat, Alhamdulillah" kata orang lelaki. Tak semua begitu ya, jadi kalau korang bukan ber-perangai begitu, tak payahlah nak terasa hati dengan penulisan saya ini.  

Pengajaran kepada kita, jika seorang suami masih hidup, bertegaslah dengan adik-beradik sendiri tentang kewajipan semasa isteri dalam edah, BUAT WASIAT SIAP-SIAP. Dapat harta buat wasiat terus bukannya tunggu Izrael Datang Memanggil baharu nak sign wasiat. Utamakan hak isteri dan anak-anak kerana jika isteri dan anak-anak yatim tidak redha kehilangan hak mereka selepas anda mati, maka ianya akan berpanjangan hingga ke Akhirat. Anda mahu tersangkut ke Syurga kerana diadili dalam masa yang panjang di hadapan Allah SWT dan hampir terjerumus ke Neraka hanya kerana adik-beradik anda mengambil 6 batang sudu hak anak anda yang menjadi anak yatim selepas anda mati?? Fikir-fikirkanlah. 

Credit FB : Dr. Kayra

Putrajaya.


12 comments:

  1. saya pun salu terbaca kisah mcm ni.. sbb tu skrg org promote hibah utk membela kebajikan isteri sekiranya berlaku apa² ke atas suami.. mana isteri yg bekerja tu ok lah kalau ada aset sendiri yg x dikongsi bersama suami.. tp bg yg surirumah yg bergantung sepenuhnya dgn suami, mmg kesian

    ReplyDelete
  2. itulah kak, tu pun orang dok cakap macam-macam dekat kita yang perempuan ni gigih kumpul aset, takut kawen fikir cerai. bukan nak kumpul aset sangat pun. nak persediaan saja. jadi apa-apa dah ada backup

    ReplyDelete
  3. Baru terbaca semalam kisah hibah. Bila keluarga sebelah suami nak tuntut juga duit hibah pada isteri. Tak faham betul la. Sebab tu selalu orang cakap rambut sama hitam, hati lain lain.

    Ayat tolong tengok isteri aku bila tak de tu fuhhh seram...

    ReplyDelete
  4. Perkongsian yang bagus kak..:)

    ReplyDelete
  5. kesiannya kawan akak tuh..ya Allah, mohon dijauhkan dari perangai adik2 ipar mcm tuh..sobs..risau kadang bila dengar cite2 adik beradik yang rakus dengan harta2 nie. duit nafkah yang arwah suami ke isteri masa hidup pun nak direbutnya..

    ReplyDelete
  6. Thank you for sharing..
    Bab rebut harta suami ni paling takut..saudara-mara belah suami akan terputus disebabkan harta.. kesian kaum hawa.

    ReplyDelete
  7. Pasal harta ni mmg takde kesudahan.. Levih2 lagi klu citer psl tanah.. Ntah apa yg direbutkan tanah sekangkang kera kat kg tu.. Mentaliti org melayu.. Gitu laaa.. Minta dijauhkn

    ReplyDelete
  8. Sangat penting orang celik agama. Sangat penting orang tahu hukum. Biasanya memang hartalah yang dikejar bila ada kematian. Masa itulah masing-masing mengaku ada HAK. MASA HIDUP TAK PEDULI PUN. Masa hidup boleh pula kau-kau aku-aku. Bila dah meninggal eh ngaku-ngaku. Hujungnya yang ditinggalkan dijadikan musuh.

    ReplyDelete
  9. Sblm suami atau isteri meninggal elok bt hibah. Kdang org melayu ni bt2 tak faham dgn hukum islam. Asal mati nk harta. Eeee geram. Memang kena fight hak kita

    ReplyDelete
  10. Bab harta ni susah nak cakap kalau masing masing tak faham dan nak jugak berebut. Kesian nasib isteri.

    ReplyDelete
  11. pernah melalui semua ni & banyak sgt belajar time tu. syukur alhamdulillah dikurniakan family mertua & ipar yg sgt baik & amik berat hingga la ke hari ini tentang kami anak beranak. and hingga ke hari ni..masih baik dgn family mertua, moga kekal sampai bila2 pun..aamiin.
    sedih sgt baca kisah2 yg dilalui oleh para isteri yg senasib..moga Allah sentiasa melindung & merahmati mereka semua.. aamin.

    ReplyDelete
  12. betul bab ni kesian sangat dengan isteri yang ditinggalkan biasanya.. takde pembelaan.. salute dengan keluarga yang ambil berat..

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah