Friday, October 23, 2020

CERPEN SERAM ~ Demi Sebuah Impian

Chapter 1

Akhirnya aku kini bergelar perantau di kota besar, kota metropolitan Kuala Lumpur. Buat pertama kali aku berjauhan daripada keluarga. Selama ini ketika di bangku sekolah sehingga lepas SPM, aku tinggal bersama keluarga. Tak pernah sekalipun berjauhan dengan mereka. Walaupun jarak antara aku dan keluarga tidak begitu jauh, tapi inilah merupakan cabaran yang terpaksa aku hadapi. Untuk hidup berdikari. Demi mengejar cita- cita dan menunaikan harapan Ayah.

Masih terngiang-ngiang suara ayah yang inginkan salah seorang daripada anaknya  mewarisi kerjayanya di bahagian kesihatan. Katanya aku mesti ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian. Kehidupan aku sudah tidak asing lagi dengan suasana di Hospital. Masih segar diingatan, sejak kecil lagi aku banyak menghabiskan masa di perkarangan Hospital. Terimbau kenangan ketika berlari-lari naik dan turun tangga Hospital Seremban sewaktu menunggu ayahku menghabiskan tugasan on-call pada waktu malam. Sedikit pun tidak ada rasa takut pada waktu itu, berlegar-legar di kawasan hospital pada waktu malam. 

Cuma, adakala sedikit rasa terganggu apabila menoleh di penghujung laluan pejalan kaki. Seawal pukul 9 malam dah terasa sunyi sepi, lampu- lampu kalimantang kebanyakkan dipadam. Dari jauh aku boleh melihat laluan bertangga untuk turun ke bilik mayat yang terletak di bahagian bawah. Gelap..sunyi..sememangnya tiada sesiapa berada di situ ketika malam.





Asalnya aku tidak pernah takut dengan laluan gelap ke bilik mayat itu hinggalah Pakcik Tapa, kawan lama ayah menceritakan satu kisah semasa mereka bersekolah dahulu. Pakcik Tapa merupakan kawan lama ayah. Ayah dahulu dikenali sebagai Abang Black dikalangan ahli kumpulannya, boleh tahan jugak ayah aku rupanya..ye la..masa tu mereka remaja kan. Sama dengan zaman sekarang. Mereka mula mengenali satu sama lain semasa Pakcik Tapa berpindah ke Kampung Pantai ketika itu kerana ayah Pakcik Tapa ditugaskan di Balai Polis Pantai. Memandangkan Pak Cik Tapa merupakan budak yang baru berpindah dan Pakcik Tapa ingin menyertai kumpulan Abang Black untuk berkawan. Menurut Pakcik Tapa, untuk menyertai kumpulan Abang Black, Pakcik Tapa perlu menjalani satu ujian menguji keberanian dahulu. 

Beliau perlu berbasikal ke Hospital Besar Seremban dan menunggu kumpulan Abang Black di simpang jalan belakang yang akan melalui bilik mayat pada pukul 10 malam.

Pakcik Tapa khusyuk bercerita dan ketika itu dia menyahut cabaran Abang Black dan kawan- kawannya hanya kerana ingin menyertai kumpulan itu. Kalau tidak dia pun tak berani katanya. 

Apa yang tidak beliau ketahui, Abang Black dan kumpulannya sedang menunggu dan bersembunyi di belakang bangunan untuk menakutkan Pakcik Tapa. Apabila Pakcik Tapa tiba di persimpangan yang telah dijanjikan, tidak sampai 2 minit beliau menunggu, dari kejauhan mereka semua dapat melihat satu susuk tubuh berwarna putih, susuk tubuh itu dilihat seakan-akan berjalan menghampiri mereka. Kira-kira pada jarak 50 meter, barulah mereka semua dapat melihat dengan jelas, sosok tubuh itu merupakan seorang misi wanita dengan memakai pakaian misi tradisional serta memegang payung berwarna putih. Semakin dekat misi tersebut, semakin jelas kelihatan misi berbaju putih tersebut tidak mempunyai muka dan kaki.      


Kesemua mereka menahan nafas sedalam-dalamnya, berdebar, menggigil dan terasa ingin lari tetapi mereka tahan.  Dalam kegelapan malam, memang tidak akan ada sesiapapun yang berani berada di lorong belakang bilik mayat Hospital Besar Seremban. Memang jelas kelihatan sosok tubuh putih itu melintas kira kira 5-meter dihadapan Pakcik Tapa, berhenti sejenak dan menoleh kearah Pakcik Tapa. 

Jelas sekali tubuh itu lengkap berpakaian putih persis uniform jururawat di zaman colonial (Florence Nightingale). 

Kemudian terus berjalan dan menghilang didalam kegelapan malam. 

Kesemua mereka menarik nafas lega dan keluar dari persembunyian masing-masing. Tidak jadi nak menakutkan Pakcik Tapa ketika itu. Pakcik Tapa pada malam itu telah membuktikan beliau lulus ujian yang tidak mereka jangkakan dengan cemerlang sekali. 

Masih segar diingatan cerita Pakcik Tapa. Entah kat mana Pakcik Tapa ketika ini. Entahkan hidup entahkan mati. Cerita seram Pakcik Tapa itu memang membuatkan aku rasa takut ketika itu. Tidak lagi berani berlari- lari dan berjalan meronda kawasan Hospital Seremban ketika Ayah on-call waktu malam.

*****

Panggg.. Lamunanku tersentak dengan hentakkan fail di atas meja dihadapanku. “Rayyan..dari tadi saya panggil awak, ini fail pendaftaran untuk pengajian awak.. Ambil dan pergi lapor diri di blok perubatan sekarang. Awak ni dah la lambat mendaftar, kelas dah 4 minggu bermula,” jerkah kerani di kaunter pendaftaran di hadapanku. Aku hanya memandang dengan satu senyuman kelat dibibirku, terus bangun mengambil fail di atas meja dan terus berlalu

Bukan aku yang sengaja untuk mendaftar lewat, namun aku adalah calon untuk panggilan kedua bagi pengajian ini setelah calon pertama menarik diri daripada pengajian. Aku berjalan dengan langkah yang berat mencari Blok Perubatan yang dinyatakan, walaupun aku tidak asing dengan suasana di hospital, namun di awal pengalaman, sudah mula ada rasa tidak serasi dengan kehidupan baru ini. Di kiri dan kanan kakitangan hospital dengan uniform berbagai warna berjalan berpusu-pusu penuh dengan urusan masing-masing. Diselang seli dengan pesakit dan ahli keluarga seolah-oleh meraka ini dalam perjalanan dan mencari sesuatu. Apa bezanya aku ini?

Hampir satu minit aku berdiri dihadapan pintu kelas, fail yang diberikan oleh kerani tadi masih tergenggam erat di tangan. Dihadapan kelas seorang pensyarah wanita sedang memberikan syarahan didalam kelas yang penuh dengan pelajar. Nafasku terasa sesak dengan hanya berdiri di situ. Telah hampir dua tahun aku meninggalkan alam persekolahan. Adakah aku pasti pengalaman ini yang aku mahukan?

“Awak student baru kan?” Tegur penyarah yang kini berdiri tepat dihadapan muka ku. Dengan gugup aku menjawab. “Ya, baru mula hari ni” Hampir-hampir tadi aku ingin berpatah balik keluar daripada segala kekeliruan ini. “Okay awak duduk di tempat kosong dibelakang sana” sambil tangannya menunjuk di satu sudut dibelakang kelas. Ada dua kerusi kosong bersama meja di bahagian belakang sekali, aku melangkah dengan penuh longlai sambil mata-mata didalam kelas merenung tajam kearah ku. Aku meletakan fail di atas meja dan terus duduk di atas kerusi. Pensyarah terus menyambung mata pelajaran yang terganggu sebentar tadi. Detik-detik seterusnya terasa agak kabur pada hari itu. 

Kringggg… Bunyi loceng menandakan telah tamat sesi pembelajaran pada pagi ini. Semua pelatih bangun dan berpusu-pusu keluar dari kelas. Ada segelintir yang masih tinggal di dalam kelas. Lebih kurang 20 minit juga aku duduk terpaku di meja. Kemudian aku kuatkan diri untuk meneroka tempat asing ini. Tanpa aku sedari, kaki ini telah berjalan hingga ke hadapan blok, melalui bilik pensyarah dan kelihatan pensyarah-pensyarah yang sedang berehat dengan aktiviti masing-masing. Aku terus berjalan hingga ke satu sudut lain, kelihatan bilik loker lelaki dibahagian hujung bangunan. Tanpa berfikir panjang, terus aku menmbuka daun pintu dan masuk ke dalam bilik loker. Didalamnya, terdapat beberapa pelatih lelaki sedang duduk di kerusi sambil berbual-bual. Hampir 30 saat aku berdiri di muka pintu memerhatikan muka-muka yang agak asing bagi diri ini, tiba-tiba aku disapa oleh satu suara. “Kau budak baru kan?” Aku memandang ke arah suara itu. Belum sempat aku memberikan respond, dia berkata lagi.. “Kau budak baru masuk sini bagi hormat sikit dekat abang-abang senior. Jangan nak tunjuk berlagak sangat”. Aku hanya berdiri sambil berdiam diri, tak pasti apa yang perlu aku katakan. Itulah perkenalan ringkasku dengan Lan, Senior tahun kedua dalam pengajian. Tiada respon dari aku, tidak lama selepas itu, mereka terus menyambung perbualan sesame mereka. Di kesempatan itu, aku terus berpaling dan terus keluar daripada situasi yang menyakitkan itu. Hmm, nampaknya aku dah buat satu kesilapan… Sepatutnya aku tidak melangkah kedalam bilik kuliah pada pagi tadi. Sepatutnya aku hanya perlu berpaling dan melangkah pergi. Apakah satu kesilapan memilih bidang ini?    

BERSAMBUNG......


11 comments:

  1. wah...ada bakat menulis jugak SA ni. Kita tunggu sambungan cerita...

    ReplyDelete
  2. Wah, cerita seram.. nanti nak baca sambungan dia lagi..

    ReplyDelete
  3. tak saba nak tunggu sambungan cerita ni... mmg suka baca kisah seram dan movie seram

    ReplyDelete
  4. Sedap baca cerpen akak. Tapi seram plak baca bab misi takde muka dan kaki tu.

    ReplyDelete
  5. aduh kita tengok gambar gelap tu terus takut huhu

    ReplyDelete
  6. semalam baca guna fon sambil baring dalam bilik...tak sabar nak tunggu sambungan!

    ReplyDelete
  7. huaaaa tak dpt nak imagine misi tu :(

    ReplyDelete
  8. Okay... Tak sabar tunggu next episod

    ReplyDelete
  9. Ujian keberanian yang menyeramkan. base on true story ke kisah ni kak. takut kang nak g hospital sban.

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah