Friday, June 28, 2019

Jualan Buku Big Bad Wolf Singgah Di Negeri Sembilan Dalam Usahanya Untuk Memupuk Minat Membaca Di Seluruh Malaysia

Jualan Buku kegemaran rakyat Malaysia kembali ke Seremban selepas empat tahun sebagai sebahagian daripada lawatannya ke seluruh negara.

Hi korang!!!

Berita baik malahan berita yang sangat- sangat menarik untuk semua Serembanians dan rakyat- rakyat Negeri Sembilan tak kisah dari mana daerah pun. Jualan Buku Big Bad Wolf akhirnya menuju ke Seremban setelah menyempurnakan jelajahnya di empat negeri di Malaysia tahun ini! Bermula dari 27 Jun hingga 7 Julai 2019, penduduk di ibu negeri Negeri Sembilan dan kawasan sekitarnya boleh mengunjungi Mydin Mall di Seremban 2 di mana Jualan Buku tersebut akan berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam selama 11 hari dan masuk adalah PERCUMA! 

Sebelum ni korang pandang- pandang dan jeling- jeling jer kan tempat lain ada Big Bad Wolf dan ada yang meroyan kat sosial media sebab tak dapat pergi ( SA la tu) beli buku murah- murah. Ha..tak payah risau dah...terjah aje Mydin Mall Seremban 2. Lepaskan la segala hajat korang nak memiliki buku- buku idaman korang tu. Jangan pula tunggu disaat- saat terakhir. Itu kalau tak dapat buku yang korang nak beli, tolong jangan salahkan SA...bukan SA tak bagi tau awal kan...dah bagi tau awal dah ni ha...



Dikenali kerana menawarkan diskaun menarik antara 75% hingga 95% berbanding dengan harga runcit yang disyorkan, para pelanggan pastinya dapat mencari berbagai jenis buku di Jualan berkenaan. Dari judul-judul terlaris hinggalah novel remaja, buku kanak-kanak, kisah cinta, sains fiksyen, jenayah, thriller, buku perniagaan, seni dan reka bentuk, buku masakan dan banyak lagi, para pelanggan boleh memilih buku-buku kesukaan mereka di Jualan Buku Big Bad Wolf dalam versi Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

“Kami berasa amat gembira kerana dapat kembali semula ke Seremban. Sejak Jualan Buku terakhir kami di sini empat tahun lalu, kami telah menerima maklum balas daripada masyarakat di sini bahawa ramai penduduk Negeri Sembilan tidak dapat mengunjungi Jualan Tahunan kami di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) kerana jarak perjalanan yang jauh. Oleh itu, dalam usaha kami untuk memupuk minat membaca kepada seberapa ramai orang yang mungkin, kami memutuskan untuk membawa Jualan Buku ini ke Negeri Sembilan,” kata Pengasas Jualan Buku Big Bad Wolf, Andrew Yap. 

Jualan Buku Big Bad Wolf juga percaya bahawa tabiat suka membaca patut disemai sejak di awal usia. Sejajar dengan itu, ibu bapa akan menemui beraneka pilihan buku kanak-kanak seperti buku aktiviti, buku mewarna, buku cerita, buku bergambar dan banyak lagi di Jualan berkenaan. Ibu bapa juga boleh meningkatkan tahap membaca anak-anak mereka ke peringkat lebih tinggi dengan Buku Ajaib yang digabungkan dengan kecanggihan teknologi Augmented Reality (AR) yang bakal merevolusikan cara si kecil membaca. Buku-buku Ajaib ini mempunyai 13 judul menarik yang terdiri daripada judul-judul bersifat pendidikan dan kisah dongeng yang terkenal. Buku-buku Ajaib tersebut yang mengandungi kandungan interaktif dan menarik dapat membantu proses pembelajaran kanak-kanak kerana mereka dapat membaca, bermain dan belajar pada masa yang sama. 

Selain daripada itu, Jualan Buku Big Bad Wolf di Seremban turut menampilkan lebih daripada 40 penerbit tempatan seperti Kualiti Books, Sasbadi, PTS dan Pelangi yang sedia menawarkan potongan harga terhebat ke atas buku-buku pendidikan. Para peminat novel tempatan juga boleh mendapatkan judul-judul kegemaran mereka yang diterbit oleh Buku Fixi, Lejen Press, DuBook Press dan Iman Publication. 

Sejajar dengan misi Big Bad Wolf Books supaya buku mampu dimiliki oleh semua, Jualan Buku Big Bad Wolf telah mengaktifkan sayap Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) miliknya iaitu Program Red Readerhood (RRH) menerusi kerjasama dengan Junior University Malaysia (Junior Uni Malaysia). Junior Uni Malaysia merupakan sebuah pertubuhan tempatan yang mensasarkan untuk meningkat tahap literasi dalam kalangan kanak-kanak di negeri berkenaan di samping membimbing mereka untuk mencapai potensi diri yang sepenuhnya menerusi pelbagai program latihan. Bagi memulakan Program Red Readerhood, Jualan Buku Big Bad Wolf akan menderma sebanyak 200 buku kepada Junior Uni Malaysia. Buku-buku yang disumbangkan akan memberi manfaat kepada kanak-kanak berusia 4 hingga 17 tahun di 6 buah rumah perlindungan kanak-kanak di seluruh Negeri Sembilan. Para pelanggan juga dialu-alukan untuk menyinggah di sudut Red Readerhood yang terletak di sebelah kiri selepas kaunter pembayaran untuk membeli dan menyumbangkan buku kepada Junior Uni Malaysia.

Selepas menganjurkan Jualan Buku selama 10 tahun , Jualan Buku Big Bad Wolf merancang untuk meneruskan siri jelajahnya ke negeri-negeri lain di Malaysia pada tahun ini sebelum kembali ke Kuala Lumpur bagi meraikan Jualan Ulang Tahun ke-10 pada Disember nanti.

Selain daripada buku, para pelanggan juga boleh mendapatkan magnet serta lencana Big Bad Wolf di Jualan Buku berkenaan. 

Pastikan anda mendapat maklumat terkini dan ikuti #BBWSeremban2019 untuk mendapatkan maklumat terkini harian di:
FACEBOOK: fb.com/bbwbooks
INSTAGRAM: @bigbadwolfbooks 

Maklumat mengenai acara:
Jualan Buku Big Bad Wolf Seremban 2019
Tempat: Mydin Mall, Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan
Tempoh Jualan: 27 Jun – 7 Julai 2019
Masa: 10:00 pagi – 12:00 tengah malam
Masuk adalah PERCUMA.

6 comments:

  1. Big Bad Wolf memang best! Kena datang awal, boleh dapat buku best2. Harga pun murah sangat-sangat.

    ReplyDelete
  2. tak pernah miss kalau depa buat kat mines. berbaloi gi

    ReplyDelete
  3. hope dapat pergi sini nanti..hehe

    ReplyDelete
  4. Pernah sekali buat kat area rumah ni...tp tak terpergi juga

    ReplyDelete
  5. Dah shopping dah. Puas hati dapat shopping kat sini

    ReplyDelete
  6. Bestnya kalau dapat ke sini..

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah