Friday, March 8, 2019

Veteran Hollywood Harapkan Pendanaan Awam ( Crowdfunding ) Untuk Terbit Filem MH370

Darlene Lieblich Tipton sedia berdepan reaksi negatif dalam usaha untuk “melakukan perkara yang betul”


LOS ANGELES, AS, 5 Mac 2019 –  Didorong hakikat bahawa bahawa keluarga dan rakan 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 “perlu dan layak mendapat pengakhiran sewajarnya”, penggiat veteran Hollywood bertaraf eksekutif kanan, Darlene Lieblich Tipton memutuskan untuk menerbitkan sebuah filem berdasarkan kehilangan pesawat berkenaan yang masih menjadi misteri kepada semua pihak di dunia.
 
Berbekalkan gambar dan video MH370 yang telah dirakamkan selepas pesawat itu hilang dan belum pernah dipaparkan di mana-mana media sebelum ini, Darlene mengambil langkah pertama bagi menjayakan penerbitan filem berjudul ‘MALAYSIA 370’  dengan mengumpul dana melalui platform pendanaan awam (crowdfunding). Projek filem ‘MALAYSIA 370’ itu didedikasikan bagi memperingati 239 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines #370. 



 
Aktiviti crowdfunding filem ‘MALAYSIA 370’ dimulakan pada 1 Oktober 2018 dengan Darlene sendiri melaburkan sebahagian besar daripada simpanan  peribadinya untuk penerbitan  produksi itu.   
 “Setakat ini saya telah mengumpulkan lebih daripada RM5.6 juta (USD1.4 juta). Sejumlah RM2 juta (USD500,000) daripada jumlah berkenaan merupakan simpanan persaraan saya, dan selebihnya datang daripada sumbangan rakan-rakan, keluarga, dan penyokong filem terakhir yang saya terbitkan,” kata Darlene. Beliau menambah bahawa kebanyakan dana yang dikumpul setakat ini adalah daripada individu yang pernah bekerja secara peribadi dengannya di Hollywood.
 
Menurut beliau, “Produksi pembikinan filem berkenaan dijangka menelan kos minima RM 30 juta (USD7.5 juta), dan kos maksima sehingga RM120 juta (USD30 juta).” Darlene menawarkan pelbagai pilihan kepada orang ramai untuk membantu menyumbang kepada pengumpulan dana penerbitan filem ‘MALAYSIA 370’ termasuklah memuat turun lagu temanya “Remember Me” yang mempunyai irama dan lirik yang menyentuh perasaan, seolah-olah menyampaikan ‘pesanan’ penumpang MH370 kepada orang yang tersayang. Setakat ini, lagu tema tersebut telah dirakamkan dalam lima bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Mandarin, Greek, Sepanyol dan Rusia. Darlene juga berhasrat untuk merakamkan lagu berkenaan dalam versi Bahasa Melayu  diiringi orkestra lengkap, di bawah kontrak berbayar di Los Angeles.
 
Darlene berkata beliau seringkali berdepan dengan laporan media negatif yang sebenarnya diputar-belitkan daripada apa yang beliau utarakan . “Saya seringkali tidak diberi peluang untuk memperbetulkannya, dan sebaik sahaja maklumat seperti itu berada di Internet ia menjadi data yang tersimpan di situ selama-lamanya.”
 
Sebaik sahaja sasaran pendanaan bagi filemnya tercapai, Darlene berhasrat untuk memberi keutamaan sepenuhnya kepada bakat dan kru produksi Hollywood yang telah diharamkan di China. Senarai bakat tersebut termasuk pengarah filem dan pemenang Oscar, Martin Scorsese, Brad Pitt, Sharon Stone, Harrison Ford dan bintang  muzikal seperti Miley Cyrus, Lady Gaga dan Bjork.
 
“Pra-produksi akan bermula secepat mungkin, sebaik sahaja sasaran dana tercapai. Maklumat dan perkembangan terkini akan dipaparkan selari dengan penstriman secara langsung dari setiap set penggambaran. Wawancara bersama bakat dan kru akan dimuat naik sebaik ia berlangsung,” kata Darlene yang juga menyebut Culver Studios sebagai lokasi penggambaran pilihannya. Culver Studio yang dibeli oleh CEO Amazon, Jeff Bezos baru-baru ini kaya dengan sejarah perfileman Hollywood menerusi penerbitan filem-filem hebat seperti  'Gone with the Wind', 'Citizen Kane' dan 'The Matrix'.
 
“Tidak ada studio Hollywood utama yang membenarkan kami membuat penggambaran di lokasi mereka. Melakukan penggambaran filem itu di lokasi produksi indie seperti Culver Studios milik Amazon bagaikan satu mimpi menjadi kenyataan,” kata Darlene.   
 
Usaha crowdfunding setakat ini merupakan salah satu dari  pendekatan pelbagai kaedah oleh Darlene bagi penghasilan filem MALAYSIA 370. Antara lain termasuk kutipan derma, penjualan duit syiling memorial dan juga muat turun lagu tema “Remember Me”. Darlene berkata bahawa dana yang diterima daripada penjualan, sewaan, dan pengedaran filem ‘MALAYSIA 370’ akan disalurkan kepada keluarga 239 penumpang pesawat MH370 . “Sasaran kami adalah untuk menyumbangkan RM400,000 (USD100,000) kepada setiap keluarga yang akan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM95.6 juta (USD23.9 juta).”
 
Pengalaman Darlene Lieblich Tipton dalam industri perfileman menjangkau empat dekad termasuk 25 tahun daripadanya sebagai Timbalan Presiden (Standard dan Amalan) di Fox Cable Networks Group sehingga persaraannya. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Anugerah Emmy, anugerah Amerika yang mengiktiraf kecemerlangan dalam industri televisyen yang setara dengan Anugerah Academy (bagi filem), Tony (bagi teater) dan Grammy (bagi muzik) dari tahun 2000 hingga 2005.


6 comments:

  1. wwoow...sampai nak difilemkan...5 tahun MH370 hilang..sama usia dengan tarikh anniversary saya..

    ReplyDelete
  2. harap x kene banned la movie ni.. hehe

    ReplyDelete
  3. Nant nak tengok la filem ni..

    ReplyDelete
  4. Allahu...moga2 tercapai sasaran dana diorang...

    ReplyDelete
  5. Semoga filem ini akan berjaya dihasilkan..

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah