Sunday, June 2, 2013

Anak emak kurang jantan?

Ketika remaja, penulis pernah melihat seorang teman karib ibu menangisi nasibnya yang mengahwini lelaki jenis ‘anak emak’. Kisahnya, setiap kali ada urusan membabitkan rumah tangga - beli perabot, kehabisan barang runcit dan seumpamanya - suami wanita itu akan terus mendapatkan nasihat atau pendapat ibunya dan langsung mengenepikan pendapatnya hingga mereka kerap bertengkar.
Di awal perkahwinan si isteri tidak kisah, tetapi menjelang beberapa tahun usia perkahwinan mereka, hampir semua urusan rumah tangga mereka perlu mendapat persetujuan ibu si suami terlebih dulu. 
Kemuncaknya, ibu terbabit menyuruh anak lelakinya menceraikan si isteri atas alasan remeh dan tidak munasabah. Demi menurutkan kata ibu, lelaki itu dengan mudah melafazkan talak lalu mengahwini wanita lain dengan alasan disuruh ibu. 

Sejak bergenerasi lamanya hubungan rapat antara anak lelaki dengan ibu memang tidak disangkal, sama seperti jalinan hubungan antara anak perempuan dan bapanya.

Namun, ada garisan halus yang membezakan antara anak yang menjalankan tanggungjawabnya kepada ibu bapa dengan anak yang terlalu taat hingga mengikut saja suruhan keluarga tanpa memikirkan baik buruknya diri dan keadaan sekeliling.

Dalam agama Islam sendiri setiap anak dituntut mentaati ibu bapanya, malah ibu diletakkan di tahap tertinggi hinggakan Nabi Muhammad SAW menyebut ‘ibu’ sebanyak tiga kali apabila ditanya siapakah yang perlu diberi perhatian terlebih dulu. 

Bagaimanapun dalam kehidupan seharian, ada ibu bapa yang terlalu mengongkong kehidupan si anak - dalam hal ini khususnya antara ibu dengan anak lelaki - hingga anak tidak mampu berfikir sendiri atau berdikari. 

Situasi itu juga membuatkan ibu lain yang membesarkan anak perempuan sentiasa menitipkan pesanan agar mengelak daripada berpasangan dengan lelaki jenis ‘anak emak’ ini. 

Sejak dulu juga masyarakat melihat situasi ini mampu membuatkan anak lelaki tidak akan membesar dengan baik atau dalam konteks ini, jantan! 

Daripada mitos Oedipus hinggalah ke filem Psycho, budaya dalam masyarakat dunia memberi amaran mengenai ‘bahayanya’ kesan keakraban antara ibu dengan anak lelaki. 

Tiada kombinasi hubungan ibu bapa dan anak yang begitu stigma seperti ini. Kita sering digalakkan mengeratkan lagi hubungan antara ibu dan anak perempuan serta bapa dengan anak lelaki agar mereka sentiasa mementingkan prinsip kekeluargaan hingga anak-anak dewasa. 

Bapa yang memberi sokongan dianggap figura penting untuk meningkatkan lagi jati diri serta tahap keyakinan anak perempuan. Bapa boleh menjadi jurulatih sambilan bagi pasukan bola tampar anak perempuannya, mengelap air mata si anak gadis dan menggalakkannya mencapai cita-cita dengan memberi senyuman tanda izin. 

Tetapi apabila ibu yang melakukan perkara sama dalam kehidupan anak lelakinya, wanita terbabit dikatakan suka mengongkong, campur tangan urusan anak serta bertindak secara tidak rasional hingga menjejaskan kehidupan anak lelakinya. 

Di saat masyarakat tidak ambil pusing mengenai kemungkinan si bapa ‘memaskulinkan’ anak perempuannya, ramai yang lebih bimbang si ibu akan mengubah personaliti anak lelaki ke arah lebih feminin. 

Benar, ada segelintir ibu yang berkelakuan begitu hinggakan individu di sekeliling anak lelakinya seperti isteri, teman wanita dan rakan turut merasakan tempias kongkongan si ibu. 

Hakikatnya, ada baik dan buruknya perkara ini. Tapi bagi mereka yang menentang, mungkin perlu memikirkannya semula kerana menurut kajian terkini di Amerika Syarikat, hubungan rapat antara ibu dengan anak lelaki ini sebenarnya dapat membantu si anak mempunyai hubungan yang baik dengan individu lain. Berdasarkan buku nukilan penasihat perhubungan popular Amerika, Kate Stone Lombardi, masyarakat sejak dulu melabelkan lelaki ‘anak emak’ sebagai lemah dan hilang sifat kelelakiannya. 

“Sebaliknya, lelaki kategori ini mempunyai definisi lebih luas mengenai aspek kelelakian yang membawa kepada kelebihan kepada keadaan kesihatan mental mereka,” ujarnya dalam buku The Mama’s Boy Myth. 

Kajian yang diterbitkan oleh Unit Perkembangan Kanak-Kanak Amerika membabitkan 6,000 kanak-kanak mendapati anak lelaki yang tidak mempunyai hubungan erat dengan ibu sepanjang proses pembesaran mereka lebih agresif dan cenderung membinasakan diri sendiri. 

Berdasarkan laporan pakar sosiologi yang mengkaji mengenai aspek maskuliniti, Dr Michael Kimmel, apabila anak lelaki yang belum matang dipisahkan daripada ibunya, mereka menjadi lebih penakut serta tidak mahir berkomunikasi dengan individu lain khususnya wanita kala usia meningkat dewasa. 

“Lagipun, wanita pertama yang mereka cintai dan bergantung hidup adalah ibu. Jadi apabila hubungan itu cuba dikurangkan kerana bimbang anak lelaki tidak maskulin, keadaan itu mengganggu emosi dan mental anak itu kerana wanita pertama yang mereka sayangi menolak mereka ke tepi,” katanya. 

Semakin meningkat usia kanak-kanak lelaki, ibu yang berhubung rapat dengan mereka dapat membantu mengurangkan elemen paling buruk dalam budaya yang menghalang sensitiviti semula jadi kanak-kanak terbabit hingga mencetuskan krisis dalaman diri. 

Anak lelaki terpaksa mematuhi piawaian kejantanan yang masih menjadi tanda aras dalam masyarakat tapi turut disulami rasa emosi marah dan keganasan yang melanda dalam diri kanak-kanak itu. 

Kanak-kanak lelaki juga ketinggalan jauh di belakang kanak-kanak perempuan di sekolah, dengan gred lebih rendah serta mempamerkan masalah tingkah laku, di samping diagnosis mendapati mereka berdepan masalah pembelajaran. 

Semua masalah ini saling bersangkut paut dan ibulah yang memainkan peranan utama dalam usaha mencari penyelesaian. Ibu yang dekat atau rapat dengan anak dapat membentuk kecerdasan emosi anak serta menggalakkan mereka meluahkan perasaan - di mana kita dapati jarang lelaki dewasa yang mahu meluahkan masalah dan lebih suka memendam perasaan. 

Malah, anak lelaki yang mampu menyuarakan pendapat mereka dan lebih bijak mengawal diri sentiasa menunjukkan peningkatan yang baik di dalam kelas berbanding kanak-kanak lelaki yang mengasingkan diri atau bertindak secara keterlaluan. 

Satu kajian ke atas 400 kanak-kanak lelaki sekolah menengah rendah awam di New York menunjukkan mereka yang rapat dengan ibu masih maskulin, dari segi ketangkasan, tabah dan berdikari. 

Kanak-kanak ini bukan saja kurang mengalami kebimbangan dan kemurungan tapi juga mendapat gred yang lebih baik. 

Bertentangan dengan stereotaip, lelaki yang boleh menyatakan emosi mereka secara terbuka tidak akan menjadi pengecut atau selama-lamanya bergantung kepada ibu mereka, tapi sebaliknya lelaki ‘anak emak’ ini menjadi pasangan serta sahabat yang kuat, empati serta memahami perasaan individu lain seperti kata profesor psikologi di Universiti Harvard, Dr William Pollack. 

Tambah pula kanak-kanak lelaki ini akan membesar menjadi lelaki muda yang bersedia mengemudi ekonomi hari ini, di mana kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan lebih penting untuk mencapai kejayaan berbanding kekuatan fizikal kasar atau kecenderungan mendominasi. 

Bagaimanapun, golongan ibu dinasihatkan berundur atau mengurangkan rasa ingin ambil tahu mereka demi kebaikan anak lelaki terbabit. Daripada campur tangan dalam hal rumah tangga anak-anak, ibu mungkin dapat membantu dengan hanya menjadi pendengar kepada masalah itu atau paling tidak menawarkan penyelesaian tanpa memaksa anak menerimanya

No comments:

Post a Comment

Heyy Gojes..Any Comment????

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah