Tuesday, November 8, 2016

Kamu Boleh Lenakan Mata Tetapi Yang Dizalimi Sentiasa Berjaga

Janganlah kamu berbuat zalim saat kamu berkuasa maka kezaliman itu membawa akibat penyesalan


Seorang nelayan miskin yang hidupnya menanggung keluarga dengan hasil tangkapan ikan.

Malangnya tangkapan ikannya selalu tiada.

Hanya menggunakan jala, dia menebarkannya di tepian pantai dengan harapan akan ada ikan yang tersangkut.

Beberapa kali dicuba, nampaknya tiada razeki buatnya.

Begitulah beberapa hari dan dia tidak berputus asa.

Dia mempunyai kesabaran dan tekad berusaha yang tinggi.

Pada suatu hari, dia ke pantai lagi, menebar jala dengan harapan ada ikan yang tersangkut.

Beberapa kali dicuba, namun tiada.

Namun, dia mencuba juga dengan longlai dan penuh harapan.

Lalu, Allah mentakdirkan seekor ikan besar terperangkap dalam jalanya.

Alangkah gembiranya melihat ikan besar itu.

Sambil menarik ikan tersebut, dia pun membayangkan apa yang akan dilakukan dengan ikan itu.

Akan aku beri makan kepada keluargaku sehingga kenyang.

Kepada jiranku juga harus diberikan.

Selebihnya barulah aku jualkan.

Demikian nelayan itu merencanakan apa yang akan dibuatnya terhadap ikan itu.

Razeki yang begitu sukar diperolehi.

Malangnya, ketika itu lalu seorang raja dengan askarnya.

Raja itu sangat tertarik melihat ikan besar yang baru diperolehi nelayan itu.

Lantas, disuruhnya pengawalnya mendapatkan ikan tersebut dari nelayan.

Sudah tentu nelayan itu sangat keberatan.

Setelah merasakan bahawa dia tidak dapat mempertahankan ikannya itu dari diambil oleh raja, dia pun meminta harga sebagai bayaran.

Dengan angkuh pengawal itu merampas ikan itu dan mengatakan raja tidak membayar harga daripada apa yang dikehendakinya.

Maka, ikan itupun dibawa pergi.

Bergenang air mata sang nelayan miskin yang daif dan tak mampu berbuat apa-apa.

Haknya dirampas.

Kepada siapa hendak dia mengadu?

Hanya kepada Allah Tuhan yang satu.

Dia pun menadahkan tangan dan berdoa.

Sementara raja itu, dengan senang hati kerana dapat ikan, disuruhnya tukang masak istana segera masakan ikan itu.

Ikan besar itu dia seorang yang makan.

Malangnya, beberapa hari setelah makan ikan itu, raja telah dijangkiti satu penyakit aneh.

Penyakit itu pada mulanya hanya berupa bengkak pada ibu jarinya.

Bengkak itu disertai dengan sakit yang sangat mengganggu keselesaannya.

Lama-lama mula bernanah.

Tabib istana dipanggil dan setelah dicermati, dia menasihatkan supaya ibu jari kaki raja itu dipotong.

Raja enggan menerima nasihat tabib istana dan disuruh carikan ubat untuk sakitnya.

Namun ubat tidak ditemui juga walau bermacam ikhtiar diusahakan.

Beberapa hari kemudian, tabib istana yang merawatnya memberitahu bahawa penyakit itu telah merebak hingga ke buku lali.

Kakinya hendaklah dipotong supaya penyakit tidak merebak ke atas.

Raja masih enggan menenerima nasihat tersebut kerana dia sayangkan kakinya.

Dia memerintahkan agar dicari tabib lain yang lebih handal.

Seorang tabib dari luar di bawa.

Setelah melihat penyakit di kaki raja, dia pun memberitahu bahawa penyakit di kaki raja itu telah merebak hingga ke betis.

Kalau tidak dipotong betis, ia akan merebak ke atas lagi.

Ketika itu, akurlah sang raja.

Lantas betisnya itu pun dipotonglah.

Raja sangat sedih atas kehilangan betisnya.

Namun, kesedihannya tidak tamat di situ.

Dalam keadaan sugul kerana kehilangan kakinya, tiba-tiba negerinya dilanda gempa.

Harta benda dan jiwa banyak yang musnah.

Keadaan ini membuatkan raja sangat hairan.

Lalu, raja memanggil seorang ulama dan bertanyakan maksud di sebalik semua musibah yang menimpanya itu.

" Tuanku telah menzalimi seseorang", ulama itu membuat rumusan.

" Seingat beta, tidak pernah beta zalimi sesiapa", ujar raja.

" Cuba Tuanku ingat betul-betul, pernahkah tuanku zalimi seseorang?", ulama itu tetap dengan rumusannya.

Maka, ketika mengimbau kembali apa yang telah dilakukannya, raja pun teringat perihal ikan yang dirampasnya dari nelayan.

Ketika dia merampas ikan itu, dia tidak merasakan itu satu kezaliman.

Apalah harganya seekor ikan.

" Perkara kecil di mata tuanku adalah besar di mata nelayan itu", ulama itu mengingatkan.

Raja itu memerintahkan agar nelayan itu dicari dan dibawa mengadapnya.

" Apa yang telah kamu lakukan setelah ikanmu beta rampas?", raja bertanya kepada nelayan itu.

" Saya tidak lakukan apa-apa", jawab nelayan ketakutan.

" Ceritakan terus terang, kamu tidak akan beta apa-apakan", raja memujuk dan menenangkan nelayan yang ketakutan itu.

Akhirnya nelayan itu pun berkata...

"Setelah ikan itu tuanku rampas, saya hanya mampu berdoa..."

"Apa doamu?", soal raja

Nelayan pun berkata: "Aku hadapkan wajahku kepada Allah dan berkata...

“Ya Allah, sesungguhnya dia telah memperlihatkan kekuasaannya atasku...Maka tunjukkanlah Kekuasaan Mu ke atasnya”.

Subhan Allah.

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah mengutus Mu’adz ke Yaman dan Beliau berkata kepadanya :

“Takutlah kamu akan doa seorang yang terzalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah”.

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

9 comments:

  1. Allahu..
    Allah yg maha berkuasa keatas yg ada dilangit dan dibumi..
    Siapa diri kita utk berkuasa dan menzalimi org lain..

    ReplyDelete
  2. doa ialah senjata paling hebat sekali. :)

    good sharing kak

    ReplyDelete
  3. bersyukurlah dengan apa yang kita ada kan.. doa kepada Tuhan moga sentiasa dlindungi aamin

    ReplyDelete
  4. moga Allah murahkn rezeki kita..aamiin

    ReplyDelete
  5. Allah.. Sesungguhnya kekuasaan Allah tiada tandingan..

    ReplyDelete
  6. jgn zalimi manusia kerana doa org dizalimi sentiasa Allah makbulkan

    ReplyDelete
  7. Nice sharing.. Semoga kita senua sentiasa dilimpahi rezeki. Amin

    ReplyDelete
  8. Jangan jadi orang zalim.. Balasan Allah itu pasti..

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah