Tuesday, October 20, 2015

Demam Kepialu Melanda Kuala Lumpur

PENINGKATAN KES DEMAM KEPIALU DI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR


Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan sejak minggu pertama bulan Ogos 2015, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) telah menerima notifikasi sebanyak tujuh (7) kes demam kepialu. Mereka merupakan buruh binaan yang tinggal di Cheras dan bekerja berdekatan pusat bandar. Seramai 2 daripada 10 kontak yang diperiksa juga didapati positif ujian dan mereka telah diberikan rawatan.

Semenjak itu, beberapa kes lagi telah dinotifikasikan dari beberapa buah hospital kerajaan dan swasta di Kuala Lumpur. Sehingga 18 Oktober 2015, jumlah kes terkumpul adalah sebanyak 32 kes. Daerah Titiwangsa mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kepong (8), Lembah Pantai (4) dan Cheras (4). Namun begitu tiada kematian dilaporkan.

Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) sedang menjalankan penyiasatan epidemiologi di lapangan bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan kejadian demam kepialu berlaku. Hasil siasatan di lapangan masih belum dapat merumuskan punca jangkitan serta jenis makanan yang dimakan kerana tiada persamaan di antara kes-kes tersebut.

Bilik gerakan telah dibuka bagi menyelaras aktiviti penyiasatan dan kawalan. Sejumlah 37 orang kontak terdiri dari ahli keluarga, rakan sekerja dan pengendali makanan telah disaring dan 24 buah premis makanan diperiksa. Sejumlah 79 sampel najis dan 4 sampel bekalan air minum diambil bagi mengesan kehadiran bakteria ini. Setakat ini belum ada sampel yang dilaporkan positif Salmonella typhii. Pemeriksaan juga dijalankan di kilang-kilang pembekal ais. Di samping itu, aktiviti pemantauan dan kawalan melibatkan sistem pembekalan air telah dijalankan bagi memastikan kualiti bekalan air di WPKL bagi memastikan kualiti bekalan air di WPKL baik.

Tifoid atau demam kepialu adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhii yang mencemari makanan atau minuman. Seseorang yang dijangkiti akan mengalami gejala di antara satu (1) hingga 3 minggu selepas mengambil makanan atau minuman tercemar. Gejala utama adalah keletihan, demam, sakit perut, sembelit dan sakit kepala. Pesakit juga boleh mengalami cirit-birit dan muntah. Jika tidak dirawat, gejala tersebut boleh berterusan sehingga beberapa minggu dan menyebabkan komplikasi seperti perdarahan dan kebocoran saluran penghadaman, keradangan otak, psikosis dan sebagainya. Mereka juga boleh menjadi pembawa bakteria ini tanpa menunjukkan sebarang gejala. Pembawa boleh menyebarkan bakteria melalui pengendalian makanan atau minuman.

Demam kepialu masih berlaku di beberapa kawasan di Malaysia yang mempunyai liputan bekalan air minum terawat dan penggunaan tandas sanitari yangrendah serta kebersihan persekitaran dan personal yang terabai. Jangkitan juga disumbang oleh pengendalian makanan yang tidak mengikut tatacara yang selamat dan sihat. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan negeri yang sentiasa mencatat kejadian penyakit demam kepialu yang rendah setiap tahun. Kejadian demam kepialu bukanlah keadaan luar biasa di WPKL, dengan bilangan kes semenjak 5 tahun yang lalu adalah di antara tujuh (7) hingga 35 kes setahun.

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan perhatian tinggi terhadap tahap kebersihan makanan dan minuman yang diambil bagi mengelakkan jangkitan. Pilih kedai atau gerai makan yang bersih, termasuk juga pekerja-pekerja khususnya pengendali makanan yang bersih. Makanan yang panas dan baru dimasak perlu dijadikan pilihan utama. Kebersihan diri (personal hygiene) juga perlu diutamakan khususnya membasuh tangan sebelum makan, selepas makan dan selepas ke tandas. Dapatkan rawatan awal jika mengalami sebarang gejala demam kepialu bagi mengelakkan komplikasi.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga sedang berusaha keras menjalankan langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi mencegah penularan jangkitan penyakit ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.


Suriaamanda:

Korang...jom kita sama-sama avoid makan kat luar..jom ikut aku bawak bekal dari rumah pi tempat kerja...at least kita yakin kebersihan masakan kita sebab dah tentu-tentu kita yang masak..kalau nak makan kat luar boleh tp pastikan tahap kebersihan..jangan makan kat tepi-tepi jalan buat sementara waktu...

3 comments:

  1. hai laaaaa macam-macam hal lately ni kat kl kat malaysia..penat nak fikirkan.

    ReplyDelete
  2. kebersihan dalam memilih tempat makan tu sangat perlu di titik beratkan juga kan SA :)

    ReplyDelete
  3. kebersihan mesti di utamakan..bawak bekal tu langkah yang bijak!

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah